Penganut Hindu dan Islam hidup harmoni di Serangan
Wednesday, April 11th, 2007Penganut Hindu dan Islam hidup harmoni di Serangan
Wanita-wanita tersebut baru sahaja menunaikan sembahyang mereka di sebuah kuil Hindu. Mereka memegang bekas buluh, yang mana mereka letakkan korban mereka di dalamnya. Mereka singgah di kedai makan tersebut, yang mempunyai ukiran khat Islam, untuk membeli makan malam.
Pada masa yang sama, suara seorang lelaki membaca Al-Quran didengar berkumandang daripada pembesar suara masjid tersebut. Satu-satunya masjid di perkampungan Serangan, ia terletak di tengah-tengah Kampung Bugis di Pulau Serangan.
Di pulau seluas 120 hektar ini, orang Hindu dan Islam hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
Tidak dapat dipastikan bilakah orang Islam mula-mula sampai di Serangan. Haji Mansyur, 60, seorang yang terkenal daripada Kampung Bugis, berkata bahawa moyangnya mula-mula datang ke sana pada kurun ke 18.
Pada ketika itu, seramai lebih kurang 40 orang nelayan Bugis daripada Sulawesi terdampar di Bali. Mereka kemudiannya ditahan oleh raja Badung, yang pada masa itu memerintah kawasan tersebut dan tinggal di Istana Pemecutan, Denpasar.
Apabila Kerajaan Badung berperang dengan Kerajaan Mengwi, raja Badung telah mengarahkan nelayan-nelayan tersebut menyertai peperangan itu. Tentera Mengwi telah tewas dan raja Badung telah menganugerahkan nelayan-nelayan Bugis tersebut beberapa keping tanah yang terletak di kawasan-kawasan yang berbeza-beza di Bandung, termasuk Tuban (dekat Kuta), Kepaon, Suwung, Tanjung Benoa dan Serangan.
Hari ini, anda masih lagi boleh menemui kampung Bugis di semua kawasan ini, di mana ramai orang Bugis tinggal di situ. Orang Bugis selalunya beragama Islam.
Sebuah buku bertajuk ‘Bali pada abad XIX’, oleh Ide Anak Agung Gde Agung, menyatakan bahawa orang Bugis biasanya bekerja sebagai nelayan atau pun pedagang, bergantung kepada tempat tinggal mereka. Di Serangan, di mana terdapatnya pantai, orang Bugis di situ semuanya bekerja sebagai nelayan. Tetapi kini kebanyakannya bekerja dalam bidang pelancongan atau pun perdagangan.
Seorang daripada orang Bugis yang mula-mula sampai di Serangan dan menjadi ketua Kampung Bugis ialah Syekh Haji Mukmin, yang juga dikenali sebagai Pak Metua atau Puak Gede.
Kampung Bugis, Pulau Serangan, adalah terpisah dengan kawasan lain dari segi fizikal dan pentadbirannya. Tidak seperti Kampung Bugis di Tuban, Kepaon atau Tanjung Benoa, Kampung Bugis di Serangan tidak termasuk dalam mana-mana banjar (unit terkecil dalam pembentukan kampung orang Bali tradisional).
Tembok setinggi satu meter memisahkan Kampung Bugis dengan banjar yang berdekatan. Tembok tersebut dibina di bahagian utara dan selatan Kampung Bugis itu. Jarak antara dua dinding tersebut pula adalah 200 meter.
Pulau Serangan dan pulau Bali dipisahkan oleh satu selat sepanjang satu kilometre. Tetapi pada 1996, kedua-dua pulau tersebut telah bercantum selepas sebuah lebuh raya dibina oleh PT Bali Turtle Island Development (BTID) untuk menghubungkan kedua-duanya.
Walaupun masyarakat Islam di Serangan secara fizikalnya terpisah daripada masyarakat Bali dengan adanya dinding tersebut, mereka bergaul antara satu sama lain. Mereka pergi memancing bersama atau membuat kerja-kerja kemasyarakatan bersama.
“Kami tidak mempunyai masalah dalam kehidupan sosial harian kami,” kata Azis,
Pertembungan budaya juga boleh dilihat dalam bahasa mereka. Orang Bugis bertutur bahasa Bugis dan juga boleh bercakap dalam bahasa Bali. Terdapat juga beberapa orang Bali yang memeluk agama Islam, atau berkahwin dengan orang Bugis.
Orang Bali memanggil orang Islam Bugis sebagai ‘nyama selam’ (saudara Islam). Sungguhpun berlainan agama, mereka saling menghormati antara satu sama lain. Contohnya, semasa Day of Silence orang Hindu, orang Islam tidak memasang pembesar suara di masjid mereka.
Masyarakat Islam yang hidup di kalangan orang Hindu Bali di Kampung Bugis juga mempunyai adat tradisi mereka sendiri, seperti Megelicik Al-Quran.
Setahun sekali, pada hari kesembilan bulan Muharram kalendar Arab, mereka akan menjunjung Al-Quran sambil berarak di sekeliling kampung.
Sehari sebelum bermulanya Ramadan, remaja Islam akan memukul gendang di masjid bagi menandakan bermulanya bulan mulia itu. Semasa Aidilfitri, mereka akan membaca ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran di rumah-rumah penduduk kampung tersebut.
Bagaimanapun, lebih kurang enam tahun lalu, beberapa sarjana Islam menyatakan bahawa adat tradisi adalah bid’ah (terlarang).
“Sejak dari itu, semangat keagamaan masyarakat Islam di sini nampak semakin luntur,” kata Haji Mansyur,
Satu mesyuarat kemudiannya diadakan dan dipersetujui bahawa adat tradisi perlu dikekalkan untuk memupuk semangat keagamaan.
Walaupun orang Bugis dan orang Bali pada amnya hidup penuh harmoni, Mansyur mengaku bahawa kadangkala perselisihan tetap berlaku antara mereka, tetapi ia tidak pernah berpanjangan.
“Kami terbuka untuk berbincang tentang apa sahaja, termasuk tentang agama,” katanya.
Maka, tidak hairanlah penduduk Kampung Bugis dan mereka yang tinggal di Istana Pemecutan dapat bergaul dengan baik antara satu sama lain. Jika Istana Pemecutan mengadakan apa-apa majlis besar, penduduk Kampung Bugis di Serangan dan Kepaon pasti akan dijemput. Malah, Cokorda Pemecutan, ketua istana tersebut, juga mempunyai nama Islamnya iaitu Abdullah.